AOTM: My Way – Tengok, Ali Nurazmal Yusoff

AOTM: My Way – Tengok, Ali Nurazmal Yusoff

This month, we feature artwork from the collection of Khai and Annie Lee

By Clara Ling

Ali Nurazmal Yusoff, My Way – Tengok, 2019, Cat minyak di atas kanvas, 122 x 82 cm

Imej ihsan dari Khai dan Annie Lee

Apakah yang mencetuskan minda seorang artis? Lebih tepat, apakah yang mencetus Ali Nurazmal Yusoff? Anak tempatan Pulau Pinang (lahir 1978), Ali ialah seorang artis dari Malaysia yang telah mencuri tumpuan sejak dari pertunjukan ALISM 2012 dengan lukisan kiasan berwarna-warni yang menakjubkan menggunakan teknik chiaroscuro, dan memberi pemaknaan yang lebih jelas pada gaya lukisan Caravaggio. Elemen elemen gaya hidup Malaysia terlihat jelas melalui karya seninya. Dari seawal usia enam belas tahun, Ali telah terlibat dalam pertandingan seni dan menyertai pameran dengan pendidik pendidik bidang seni halus Malaysia seperti Ibrahim Hussein dan Anuar Rashid.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia pada tahun 2001, beliau telah merangkul pelbagai anugerah dalam pertandingan seni di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Salah satu dari kejayaan beliau adalah daripada pameran solo ReALISM di Art Stage Singapore 2016, di mana karya beliau, Resurrection, telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu daripada beberapa karya seni Truly Asia di Art Stage Singapore 2016.

Dalam lukisan Ali My Way – Tengok (2019), kita dapat merasakan lamunan beliau terutamanya melalui cara subjek merenung tepat kehadapan. Subjek dilihat sedang menghisap rokok di hadapan garis garis yang kelihatan seperti bendera Malaysia. Penekanan pada struktur muka dan ekspresi yang separa riang ditambah pula dengan sapuan berus bentuk bebas kepulan asap memberikan perwatakan yang kuat pada karya seni ini. Renungan yang tajam dari mata subjek memberi lambang tentang kebimbangan artis pada masa hadapan—namun digabungkan dengan kombinasi gaya surreal dan bersahaja, seolah olah ianya suatu mimpi.

Bayangan bendera Malaysia di latar belakang mewakili pengalaman peribadi artis dan keprihatinan tentang perubahan politik dan kesan rakyat Malaysia terhadap situasi sosio-ekonomi tempatan. Ia adalah unjuran dari keprihatinan artis tentang “rasa” perubahan politik dan implikasinya kepada generasi akan datang.