Pada bulan ini, kami menampilkan karya seni daripada koleksi Khai dan Annie Lee
By Ellen Lee

Eston Tan 陈鎰森, Jeti, 2004, Cat minyak di atas linen, 62 × 79 cm
Imej ihsan dari Khai dan Annie Lee
Mac adalah bulan yang lembab dan basah. Hari-harinya bermula dengan cerah sebelum awan mula melindung matahari dan kilat menyambar membelah langit. Sesuai dengan keadaan cuaca bulan ini, lukisan oleh artis kelahiran Pulau Pinang, Eston Tan (anak kelahiran tahun 1972), bertajuk Jeti, menggambarkan salah satu daripada banyak jeti di Pulau Pinang, yang telah menjadi mercu tanda budaya negeri ini, digambarkan seperti keadaan selepas ribut.
Pada zaman kegemilangan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar perlabuhan yang sibuk, ia menyaksikan gelombang penghijrahan orang Cina ke Malaysia. Ramai daripada masyarakat Cina ini berkumpul dan menubuhkan puak, mendirikan jeti ini untuk menyatukan rumah dan perniagaan mereka di persisir pantai. Namun, visi yang dicoretkan oleh Tan tidak seindah gambaran yang sering terlihat di laman web pelancongan.
Dalam lukisan Tan, pantainya berlumpur dan tiang kayu jeti kelihatan tidak sekata. Teknik lukisan impasto yang digunakan memberi kesan visual kelembapan bumi selepas ribut. Laut hampir tidak dapat dibezakan daripada daratan dan permukaan air tidak membias langit. Di sudut kanan lukisan itu pula, terlukis sebuah perahu dayung kecil, terkandas di dalam lumpur.
Lukisan tersebut dihasilkan dengan gaya separa impresionistik, yang menyerlahkan identiti Tan sebagai seorang artis. Lukisannya cenderung untuk merakamkan landskap, terutamanya landskap urban, yang dihidupkannya menggunakan teknik lukisan impasto. Tan telah mendapat pendidikan di Institut Seni Malaysia dan The One Academy, telah membawa hasil landskapnya ke pameran di sekitar Malaysia, Taiwan, Hong Kong, Vienna dan Jakarta. Dia kini tinggal dan bekerja di Taiwan, mengharapkan agar hujan akan sedikit berkurangan di waktu ini.