Nilai dan Harga Karya

Nilai dan Harga Karya

Sebuah perenungan dalam menentukan harga hasil seni.

By Fahmi Mustaffa

Kerja seni paling tidak, menuntut masa yang barangkali terlalu lama untuk tiba di lapangan penamat. Seorang perupa akan melaburkan masanya berbulan, malah bertahun, atau seumur hidup, dalam mencari gerak peribadi ketika menghasilkan karya. Oleh itu, setiap perupa yang mula menyelak pameran dan pasaran, pasti menghadapi cabaran saat ingin menentukan harga jualan karya seni mereka. Dalam arena media sosial yang acapkali menghubungkan terus jaringan perupa dan pengumpul (tanpa bantuan galeri), penentuan harga merupakan aspek penting terutamanya kepada perupa tunas yang ingin meletakkan dirinya dalam tradisi dunia seni, yakni tradisi penghasilan karya, berpameran dan jualan. 

Khalayak umum pasti akan tertanya-tanya, bagaimana harga karya seni digembur sehingga sedemikian rupa, dan apakah yang menentukan harga sedemikian? Atau lebih tepat, siapakah yang menentukan harga sesuatu karya itu? 

Bagaimana pula faktor-faktor teknikal yang menyumbang kepada harga asas sesebuah karya seni? Si kaya yang membeli hasil seni jutaan ringgit ini, apa yang mereka benar-benar miliki? Seni dan dunia seni, meski selalu dianggap dunia serupa, mempunyai lenggok pasaran dan pemasaran yang berbeza. Maka, bolehkah sesuatu karya yang subjektif mempunyai perkiraan penentuan harga seperti produk-produk bukan seni di pasaran?

Jika mengikut takrif mudah, sesuatu yang mahal tentu sekali bernilai tinggi dan berkualiti, bukan? Maka, haruskah seseorang perupa itu langsung meletakkan harga yang tinggi demi untuk tampil lebih ‘bernilai’ dan ‘berkualiti’, tanpa penilaian cermat terhadap karyanya? Maka pautannya terkait kepada hasil karya dan perupa itu sendiri—dari segi fizikal karya, teknikal, literatur dan juga reputasi serta latar belakang perupa. Harga yang terlalu tinggi bakal mengundang persoalan, terlalu rendah, bakal mengundang pengabaian. Lagipula, hasil seni perlulah mahal-mahal, bukan?

Dalam fasa terawal saya menembusi pasaran dan pemasaran dunia seni, antara cabaran yang menerpa saat hasil karya sudah tersiap—untuk menentukan harganya. Jika saya sekadar menentukan harga karya dengan berpandukan kos barangan (kanvas, akrilik dan sebagainya) serta margin keuntungan, maka, di manakah harga untuk membayar keringat, percubaan, ketekunan, kos untuk menyara hidup dan segala macam tuntutan keduaniaan? Oleh sebab itu, saya menolak matematika mudah bahawa karya yang dijual perlu dinilai dengan harga kos untuk membeli barang-barang dan keuntungan sahaja. Ia perlu lebih mencakupi. 

Adakah harga sesebuah karya mencerminkan nilainya?

Di zaman awal pembabitan dalam ranah seni rupa, saya kerap kali mengunjungi pameran seni untuk melihat hasil karya perupa lain, perupa muda seperti saya dan mempelajari bagaimana mereka meletakkan harga karya mereka berdasarkan saiz, bahantara, literatur dan juga keberkesanan (yang lebih bersifat subjektif dan peribadi). Dari situ, saya mula mendapat sedikit sebanyak cadangan dan keyakinan untuk bertungkus lumus menaikkan nilai karya saya sebelum saya memikirkan berapakah harganya

Khalayak menganggap bahawa harga yang tinggi mencerminkan nilai yang tinggi, namun harga sesebuah karya seni mempunyai takrif nilai yang lebih besar—iaitu reputasi seseorang artis, konsep dan karyanya, siapa pengumpulnya, adakah dia nama besar dan punya ketokohan di dalam dan luar negara—maka sebenarnya, proses memberi tanda harga kepada karya seni tidak mempunyai kaedah yang objektif, disebabkan hubungan jalinan yang agak rumit. Paling ringkas, perlu juga kita renungkan, apa itu nilai? 

Adakah ia bernilai seperti yang dikhabar oleh perupa itu sendiri, atau sesebuah karya hanya akan bernilai setelah melalui proses penilaian?

Sejarah dunia seni begitu rencam dan menarik untuk dinilai. Namun, dalam skala peribadi, saya berpendapat bahawa tradisi berpameran (sama ada melalui galeri atau inisiatif perupa itu sendiri) amatlah meningkatkan nilai sesebuah karya—saya kira, tiap berpameran, pasti ramai yang berkunjung akan membutirkan pendapat mereka tentang karya sekian—sekian, secara langsung menggalakkan ulasan, penilaian dan pendedahan perupa dalam dunia seni. Semakin perupa dikenali, semakin besarlah ruang untuk bertapak dalam pasaran. Ruang kadangkala menghasilkan peluang, justeru memungkinkan sesebuah karya dari perupa yang giat berpameran dinilai lebih sedikit harganya berbanding perupa baru yang langsung tidak dikenali. Namun, beberapa pengecualian tentulah wujud; sekiranya karya-karya itu menggoncang tarikan masyarakat—meski dari perupa yang telah mapan mahupun sebaliknya. 

https://penangartdistrict.com/the-elusive-gallery-representation-two-case-studies/

Penentuan Harga Karya Seni untuk Perupa Tunas

Dalam matematika ringkas untuk pemula, harga karya dinilai sama ada melalui persegi ditambah dengan keuntungan. Katakan, 1 sentimeter persegi bersamaan dengan RM50, maka jika karya perupa adalah 100 sentimeter persegi, jumlahnya adalah RM500, sebelum ditambah dengan margin keuntungan, yang kebiasaanya 40 – 50 peratus daripada harga jualan.

Matematika lain, melalui pembayaran kiraan jam. Katakan anda membayar diri anda RM20 sejam, dan sebuah karya mengambil masa selama 20 jam, maka hasil karya itu, minimumnya adalah RM400 sebelum penambahan apa-apa margin keuntungan serta kos lain termasuklah bahantara, pembingkaian dan penghantaran (semakin banyak pengalaman dan latar sejarah perupa itu, semakin bernilai kadar masanya).

Walaupun matematika mudah ini mempunyai sedikit sebanyak kekurangan kasar, ia masih boleh menjadi panduan asas untuk pemula. Sebagai perupa yang tidak mendapat pendidikan formal melalui sekolah seni, proses menentukan harga karya saya banyak dicedok daripada aktiviti menghadiri pameran dan nasihat perupa sezaman dengan saya. Maka sifir matematik yang tersebut di atas menurut saya, agak pegun dan tidak lentur, namun paling tidak, ia boleh dijadikan tanggapan asas dan salah satu faktor penentuan harga karya. 

 

Peranan Reputasi Perupa

Reputasi perupa dan karya mereka juga memainkan peranan. Karya bersaiz sama antara dua perupa dengan reputasi berbeza, sudah tentu menonjolkan harga yang berbeza. Makanya, karya yang dipamerkan juga sedikit sebanyak berbeza harganya dengan karya yang tidak menyertai pameran, kerana ia menentukan keberadaan, latar belakang, pengalaman, sejarah perupa dan karyanya. Perupa dengan reputasi tinggi sering sahaja dihargakan dengan nilai tinggi, dan begitulah sebaliknya. Maka sebab itu, kita lihat dalam gulungan sejarah, perupa yang bereputasi tinggi dan diraikan akan menikmati harga karya yang tinggi berbanding perupa sebaliknya. 

Dalam menilai karya sendiri, sudah pasti kita akan mengambil kira pengalaman, disiplin, ketekunan, kajian, kos dan apabila sesuatu karya itu telah siap, pastinya kita merasakan itulah adikarya kita yang patut dinilai tinggi, namun tetaplah perkara seperti teknikaliti dan estetika perlu dititik beratkan, dari segi saiz, bahantara, keaslian, teknik penghasilan dan kemasan, pandangan sarwajagat serta nilai pengkaryaan dalam sudut sezaman serta kualiti pengalaman ketika ia dipamerkan.

Fahmi Mustaffa di studio kecil miliknya bersama sebahagian catan. Kredit foto: Faizal bin Hussin

Karya seni sebagai sebuah simbolisma alam manusiawi

Karya seni menjangkaui produk keluaran seperti hasil catan semata-mata. Ia terpenuh dengan idea, gagasan, wasasan, impian dan melangkaui zaman. Karya yang dicipta beratus-ratus tahun dahulu masih lagi mempunyai nilai, malah semakin bertambah dari segi harga, sambutan, penilaian dan sudut pandang analitikal. Sebagai artis pemula, seorang perupa tunas perlu melihat pelbagai sisi karya dan latar belakang sebelum mula meletakkan tanda harga sesuatu karya ketika berpameran atau jualan langsung kepada pengumpul. 

Karya seni melangkaui nilai bahan mentah dan tempoh penghasilan semata-mata. Ia simbol sebuah kewujudan, bahawa penciptaan adalah sebuah nilai kemanusiaan dan karya seni menjadi sebuah simbolisma alam manusiawi.

Fahmi Mustaffa is a visual artist, author, literary translator, editor, and designer. His latest participation includes Light & Dark, Maybank Balai Seni Art Series; PEDULI, Galeri Shah Alam; and PAUSE, Hin Bus Depot. Based in Penang, Fahmi has written 4 novels and translated 7 literary works, as well as science and literary essays, interviews, reviews and art analysis for local and international publications. He is currently preparing for his art exhibition and performance.