Bagaimana asimilasi teknologi dan kesenian tradisi boleh dicapai? Satu projek yang pertama kali dihasilkan di Malaysia oleh seorang pengamal seni tempatan Pulau Pinang.
By Izzard Padzil
Kesenian wayang kulit adalah satu bentuk persembahan yang tidak asing lagi dalam kalangan khalayak di Pulau Pinang. Paluan gong dan gedombak, alunan nyaring dari serunai dan suara dalang yang membawa cerita, seringkali dipersembahkan di Pulau Pinang, sebagai salah satu program dalam festival kesenian yang dijalankan di sini. Walaupun wayang kulit bukan persembahan yang berasal dari Pulau Pinang, namun kini ia telah lebih berasimilasi dengan variasi persembahan yang lebih kontemporari dengan penggunaan bahasa dan penceritaan yang lebih mudah difahami oleh khalayak tempatan. Namun, sehingga kini hanya terdapat satu kumpulan berdaftar yang aktif dalam seni persembahan wayang kulit di Pulau Pinang. Kekurangan kumpulan yang aktif dengan seni wayang kulit menimbulkan persoalan tentang kelestarian persembahan tersebut di Pulau Pinang, bagaimana bentuk kesenian ini dapat dijalankan dengan lebih kerap, dan bagaimana untuk mengekalkan minat khalayak terhadap kesenian tersebut.
Menyedari hakikat ini, anak kelahiran Pulau Pinang, Ahnaf Hakimi Ahmad, lebih dikenali sebagai Kimy, seorang pensyarah di Han Chiang University College of Communication ini telah memulakan satu projek animatronik menggunakan wayang kulit sebagai subjek dalam eksplorasi yang menggabungkan teknologi dalam seni persembahan.

Ahnaf Hakimi Ahmad, pensyarah multimedia dan juga pengasas syarikat Kognitif Lab, yang menjalankan projek elektronik dan visual sebagai hobi, seorang fabrikator dan juga penggodam seni visual. Kredit foto: Ahnaf Hakimi
Graduan Jabatan Rekabentuk Dan Teknologi Media Baru, Pusat Pengajian Seni USM itu berpendapat, mengikut keperluan zaman, karya tradisional haruslah bergerak seiring dengan perkembangan teknologi di samping mengekalkan idea asal, adat budaya dan tradisi. Teknologi robotik telah diguna pakai dalam industri perfileman, persembahan dan permainan, maka teknologi ini juga boleh di implementasi dalam persembahan wayang kulit.
Pergerakan robotik pada patung wayang kulit yang dicetak secara 3D, mengambil masa hampir 12 bulan dari proses awalnya, hingga ke hari ini masih terdapat beberapa proses penghasilan dan penambahbaikan. Bermula pada Julai 2021, kerja kerja pengumpulan data dan kajian rekabentuk asas telah dijalankan sebagai langkah permulaan. Pada Disember 2021, kerja fabrikasi telah dimulakan dengan tumpuan terhadap rekabentuk mekanikal kerana ia adalah proses yang paling rumit dan melibatkan kos yang paling besar. Fasa lainnya, seperti reka bentuk karakter, elektronik, aturcara komputer dan kerja pertukangan hanya dilakukan selepas itu dan pada April 2022, ianya telah 80% lengkap, dan memasuki fasa ujian untuk memastikan persembahan wayang kulit beroperasi dan bergerak mengikut data yang telah diprogramkan. Sehingga hari ini, walaupun ianya telah berada di ruang pameran, projek ini masih lagi berada dalam fasa permulaan, dimana ianya masih didalam pemerhatian untuk tujuan penambahbaikan.

Pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat tentang penggunaan teknologi robotik selain dari menonton persembahan Wayang Kulit Animatronik. Foto sumbangan Ahnaf Hakimi
Wayang kulit Animatronic (WKA) adalah salah satu cara untuk mengekalkan tradisi ini dengan garapan baru terhadap gaya persembahannya. Menurut Kimy, WKA hanya memerlukan tenaga kerja yang minimal untuk menjayakan persembahan wayang kulit. Secara asasnya, pekerja teknikal hanya perlu membuat instalasi di ruang persembahan atau pameran, dan setelah kerja tersebut selesai mereka hanya perlu melakukan penetapan digital WKA mengikut aturcara program atau majlis. Persembahan akan bermula dan berhenti secara automatik tanpa memerlukan pengawasan. Hal ini membolehkan WKA ditinggalkan di dalam ruang pameran dalam tempoh yang lebih lama.
Walaubagaimanapun, kerjasama dan kolaborasi dengan kumpulan wayang kulit tempatan adalah perlu untuk menjalankan proses rakaman suara, penetapan cerita dan latar untuk persembahan tersebut. Untuk pameran yang sedang dijalankan, Kimy telah berkolaborasi dengan Wak Long Music & Art Centre dan juga menampilkan Encik Murshid Bin Md Hussain sebagai penulis skrip dan cerita, selain daripada menjadi Tok Dalang bagi proses rakaman. Kimy percaya bahawa dengan langkah ini, proses dokumentasi kesenian ini juga dapat berjalan serentak untuk tujuan arkib, kerana lumrah satu persembahan wayang kulit yang selalunya bersifat improvisasi, dapat dirakam dan disimpan sebagai rujukan. WKA juga dapat memberi ruang dan masa yang lebih kepada khalayak untuk mendapat akses kepada persembahan wayang kulit yang sebelum ini hanya dipersembahkan pada masa masa tertentu sahaja.
Sebagai satu projek yang pertama kali dijalankan di Malaysia, tidak banyak data rujukan untuk melaksanakan projek ini. Setiap data yang dikumpul dan dikaji adalah merupakan rujukan dari dunia robotik dan kemudiannya disilang dengan data dari aspek persembahan tradisi wayang kulit untuk tujuan kalibrasi, yang secara asasnya melalui banyak fasa percubaan. Pembuatan dan penghasilan bentuk pameran juga perlu melalui perubahan dari segi material dan kaedah persembahan. Ini jelas terlihat kepada penghasilan patung wayang kulit yang dicetak secara 3D, yang merupakan bahan yang asing dari fabrikasi patung wayang kulit yang sering kita lihat. Penghasilan patung dari bahan Poliuretana adalah bertujuan untuk memastikan ketahanan patung, untuk persembahan yang berulang-ulang sepanjang tempoh pameran. Pencahayaan WKA juga adalah menggunakan projektor, dimana latar tempat dan juga transisi mampu diubah menggunakan grafik komputer sebagai satu bentuk asimilasi menggunakan medium selain pencahayaan asli wayang kulit yang hanya menggunakan mentol.

Contoh patung wayang kulit cetakan 3D dan juga mekanisma pergerakan patung Wayang Kulit Animatronik. Foto sumbangan Ahnaf Hakimi
“Pada masa sekarang, saya masih lagi menjalan kerja eksplorasi untuk mencari ilham dan idea untuk karya seterusnya. Semestinya untuk karya yang akan datang, saya akan mengekalkan penggunaan teknologi robotik sebagai asas kepada karya yang bakal dihasilkan.” Jelas Kimy apabila ditanyakan tentang perancangan bagi masa hadapan. Penumpuan terhadap teknik animatronik akan menjadi asas dalam pertimbangan untuk bereksplorasi dengan bentuk seni persembahan yang lain, untuk tujuan kelestarian dan menarik minat baharu terhadap bentuk persembahan tersebut.
Projek yang dibiayai dengan geran dari Cendana ini sedang dalam pameran di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia dari 1 hingga 30 Julai 2022, Isnin hingga Sabtu , jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.

Wayang Kulit Animatronik kini dalam pameran di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM. Kredit Foto: Eswandy Asre
Pautan media Wayang Kulit Animatronik
Izzard is Penang-based theatre practitioner who hails from Selangor. An actor, director and facilitator in children’s theater educations, currently focusing his efforts on theater directions and actors preparations.