AOTM: Courting by Tan Thye Siew

AOTM: Courting by Tan Thye Siew

Setiap bulan, kami mengangkat karya seni daripada koleksi tetap Galeri Seni Negeri Pulau Pinang.

Oleh Fahmi Mustaffa

Tan Thye Siew, Courting, 1956, Photography, 26cm x 28cm
Image courtesy of Penang State Art Gallery

Gambar berkata-kata. Seorang lelaki tangan terjulur. Wanita, tersandar. Tona warna, melankolia. Hati mereka, barangkali berbunga. Lelaki menumpang teduh di bawah tingkap jendela. Wanita menumpang teguh pada dada dinding. Kata-kata tidak jelas pada gambar, tetapi perasaan mereka ketara. Tingkap yang mengurung hampir seluruh isi tubuh lelaki terlalu kecil saiznya. Tak tergambar pada dinding yang menyentuh sosok wanita. Tetapi bayang-bayang dari tangan lelaki terjulur melebihi sepatutnya. Mungkinkah bayang-bayang juga punya kata-kata? 

Tan Thye Siew (1924 – 1997) bersama Jimmy Tan Eng Hin membawa warisan kebangsaan dalam Photographing Malaysia. Perenungan visual sudah pasti menjadi akar umbi kepada pengalaman situasi sebelum pembangunan benar-benar menjabat, langsung meruntuhkan nostalgia. 

Detik atau momen, setelah bertahun-tahun, ia pasti memberanakkan memori. Tetapi kepada siapa? Barangkali kedua mereka terpisah hidup, bercerai mati, atau setia ke hujung usia. Itulah matematika masa. Tetapi dalam sebuah gambar, masa bukan lagi satu hal mustahak. Masa adalah penjahat. Ia mencemburui semua insan bercinta. 

Mereka berdua hidup selama-lamanya. Lihatlah, lelaki kekal terjulur. Wanita kekal tersandar. Untuk apa harus diperkata lebih-lebih? Kata-kata selalunya bertindak tanpa bertangen perasaan. Lebih-lebih lagi kepada orang yang sedang berkongsi atau meluah perasaan. Tetapi dari gerak badan, mereka tidak seperti berkomunikasi. Lelaki melihat-intai, wanita memejam-menilai. Itu bahasa terbaik perhubungan. Apabila tiada benteng berbentuk perkataan, cukuplah sekadar bahasa paling tua di dunia—bahasa visual. Di situlah rindu dan asmara. Kata-kata hanya merencatkan perasaan. Sudah berapa ramai kita terluka dengan kata-kata, dan sudah berapa ramai pula kita jatuh cinta hanya dengan pandangan pertama?

Setiap yang bermula, akan berakhir. Tetapi detik sebegini, ia kekal abadi. Ia termaktub sampai kita yang melihat akan meminjam rasa. Maka dalam sekeping gambar tercuri dari detik suatu hari pada tahun 1956, baik sahaja kita diam dan merenung. Kita seperti mereka, melafaz ayat-ayat cinta dalam juluran dan sandaran, dalam pandangan dan nilaian. Mungkin dunia hati lebih baik sahaja begini. Lebih baik sunyi. Di situ, cinta bertunas dan bersemadi. 

Fahmi Mustaffa adalah Penulis, Artis Visual dan Penterjemah.