Keterbukaan dan jiwa rakyat pemangkin kejayaan Azmi Hussin

Keterbukaan dan jiwa rakyat pemangkin kejayaan Azmi Hussin

Bintang Azmi Hussin semakin terang bersinar, tetapi siapa sebenarnya beliau? Kami berhadapan dengan seorang artis Pulau Pinang yang kerap dibandingkan dengan Lat untuk mencungkil kisah di sebalik karya dan kerjayanya.

Oleh Deric Ee

Azmi Hussin ialah seorang enigma dalam lanskap seni tempatan. Antara karya dan usaha pemegang Malaysia Book of Records ini termasuk buku komik The Little Mamak, mural pemimpin negara di Jalan Tanjung Bungah, dan panel komik bulanan di dalam majalah Penang Monthly.

Petikan daripada The Little Mamak - Lost in Bagan terbitan Clarity Publishing

Setelah membina nama sebagai kartunis kelahiran Butterworth yang mengetengahkan unsur budaya dan warisan tempatan, Azmi kini dalam proses mengaplikasikan seni karikatur dalam lakaran bangunan. Karya terbarunya yang berdasarkan senibina Pulau Pinang akan dikongsikan bersama pengunjung di pesta kesenian antarabangsa George Town Festival (GTF) bulan ini.

Kebanyakan artis hanya mahu berkarya, tetapi Azmi faham dan sedia menghadapi realiti berseni di dalam dunia kapitalis. Hasil kerja Azmi tidak kurang menawan jika dibandingkan dengan kartunis-kartunis yang relevan sekarang seperti Zunar dan Keith, tetapi pujian wajar diberi kepada kebolehan beliau untuk mengutuhkan peranan karyanya dalam masyarakat tempatan. Saat-saat Azmi di luar studio diluangkan untuk meminang penaja, merancang kolaborasi, dan membina hubungan dengan badan-badan warisan — ini mungkin kekuatan utama beliau sebagai seorang pengkarya.

Oleh itu, kami tidak hairan jika impak karyanya semakin jelas kelihatan di negeri asal beliau, dan juga di kalangan komuniti India-Muslim di seluruh negara. Suatu kala di bandar Seremban, makan malam Azmi ditaja secara tidak langsung setelah raut wajahnya dicam oleh pemilik restoran Mamak di sana.

Jika gelaran Mamak seringkali dihubungkan dengan kedai makanan dan minuman, adakah Azmi dalam proses mengasah semula imej komuniti beliau melalui karya seperti The Little Mamak serta cubaannya mencatat nama di dalam Malaysia Book of Records? “Niat saya berseni bukan untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap masyarakat tempatan,” ujar Azmi, khuatir dengan mandat sebegitu berat.

“Boleh dikatakan yang dalam kalangan mereka yang memegang payung hitam, saya seorang yang memegang payung merah.”

Walaupun komentar yang wujud dalam komik Azmi terutamanya untuk Penang Monthly mampu bernada sinis dan tajam, beliau bertegas tiada niat ingin bertarbiah kepada sesiapa. Azmi mencungkil kelucuan daripada pertembungan budaya yang kerap berlaku di Pulau Pinang. “Pernah sekali Zunar menasihati saya agar menjauhi diri daripada mesej berbaur politik dalam lukisan saya,” ulas beliau. “Masa itu saya masih baru lagi dalam industri. Namun saya tidak pernah terdorong untuk menuju ke arah itu.”

Panel komik beliau tidak hanya bernada lucu, ada juga yang berkongsi khabar tentang masyarakat kini. Karya-karya Azmi mengutamakan keunikan hidup di Malaysia sambil menyemarakkan semangat memelihara keharmonian masyarakat, contohnya buku komik Tanjong Life dan Little Mamak.

Petikan daripada The Little Mamak - Lost in Bagan terbitan Clarity Publishing

Tema-tema yang lebih mencabar timbul di dalam kerja Azmi yang terbaharu. Misalnya, panel komik Penang Monthly beliau berani menyatakan perbezaan identiti di antara rakyat Pulau Pinang yang hidup di pulau dan di tanah semenanjung. “Idea di sebalik komik itu berdasarkan pengalaman saya sendiri,” Azmi berkata. “Sejak zaman sekolah lagi saya dan rakan-rakan saya akan merujuk kepada bandar George Town sebagai ‘Penang’.”

Penang Monthly (isu April 2019)

Seorang artis secara umumnya tidak gemar dibandingkan dengan rakan-rakan industrinya, tetapi Azmi tersenyum girang bila nama Datuk Lat disebut. Karya beliau sering kali dikaitkan dengan kesenian kartunis terhebat negara ini — nama Lat muncul di dalam hampir setiap rencana yang pernah diterbitkan mengenai Azmi. Walaupun Azmi tidak berasa yang kartun dan karikatur beliau menyerupai karya Datuk Lat, dia menerima perbandingan ini dengan mudah. Hakikatnya, Lat telah membuka hati ramai pelukis muda termasuk Azmi terhadap daya maju kartun sebagai periuk nasi seorang artis. Dan Azmi kini bukan hanya seorang peminat tegar Datuk Lat — mereka sudah bergelar sahabat.

Pertanyaan tentang cabaran yang dihadapi seorang artis sudah menjadi biasa bagi Azmi yang penuh dengan kisah menarik untuk dikongsi. Beliau menganggap bahawa idea yang bernas adalah sesuatu yang paling penting, namun ia juga sesuatu yang sukar ditemui dalam proses pembikinan komik. Motivasi utama Azmi? Batas waktu yang kian dekat. “Bila editor Penang Monthly panggil saya di awal pagi dan tanya, eh Azmi, drawing dah siap? Saat itulah saya akan mula menghasilkan panel komik saya dan petang itu jugalah akan siap,” Azmi mengaku dengan gelak tawa.

Di luar proses penggarapan komik dan lukisan, cabaran Azmi seterusnya adalah untuk rakan-rakan menerima kerjayanya sebagai seorang pelukis. “Saya sudah beristeri. Ada tiga orang anak, kereta dan rumah. Namun ada lagi saudara dan kawan yang meragui kerjaya saya,” bilang Azmi dengan nada lucu. Dia memandang anak-anaknya. “Dah berapa tahun emak sudah tidak bekerja? Dan ada yang masih panggil saya drawer, iaitu laci dalam Bahasa Inggeris.”

Memikirkan bakat ayah yang mewarnakan hidup keluarga mereka, soalan seterusnya diajukan kepada kedua-dua anak lelaki Azmi yang hadir semasa wawancara bersama Penang Art District ini. Mereka ingin melukis untuk kerjaya, tetapi bila ditanya sama ada ingin menghasilkan seni halus (“Bosan!” ujar Azmi) ataupun menjadi kartunis seperti ayah mereka, kedua-duanya menjawab “Artis!”.

Seni sebagai kerjaya adalah konsep yang asing bagi mereka yang tidak biasa didedahkan dengan karya yang bernas. Mungkin Azmi tidak terfikir untuk mengubah dunia secara langsung melalui kerjayanya, tetapi kesenian beliau telah membuka pemikiran anak muda tentang prospek seni sebagai suatu kerjaya.

Rezeki Azmi sebagai seorang kartunis turut digalakkan oleh rangkaian dan ketelitian proses beliau. Azmi akur yang kejayaan tidak mungkin wujud tanpa sokongan komuniti dan juga kerajaan. Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMCOM) banyak membantu beliau dalam kajian untuk karyanya yang berkait dengan sejarah kehidupan golongan Mamak. Malah kepercayaan YAB Chow Kon Yeow terhadap Azmi (semasa Menteri Besar Pulau Pinang itu masih lagi seorang ADUN) membuka peluang untuk Azmi mencatat nama di dalam Malaysia Book of Records. Impak dari cubaan sulung itu hebat sekali; saat Azmi memecahkan rekod untuk lukisan karikatur yang paling banyak dalam tempoh 24 jam, perhatian masyarakat mula tertumpu pada beliau.

Azmi kini dalam proses memasuki Malaysia Book of Records sekali lagi dengan lukisan kopi terpanjang di Malaysia. Sekiranya cubaan ini berjaya, beliau akan mencalonkan lukisan sepanjang 110 meter itu untuk Guiness World Book of Records. Azmi percaya publisiti yang mampu tercetus oleh rekod baru ini dapat memperluaskan lagi audiens dan peluang kolaborasi beliau.

Kini Azmi sudah arif dalam peminangan penaja; dalam usaha mendapatkan tajaan daripada francais kopi antarabangsa Starbucks, beliau sanggup membawa bersama draf lukisan berukur 10 meter untuk dibentangkan di pejabat utama Starbucks di Kuala Lumpur.

Lukisan Azmi yang diwarnakan dengan kopi

Mereka yang ingin mencuba sendiri bagaimana rasanya bekerjasama dengan Azmi boleh menyertai Warna Warni George Town, suatu siri acara percuma yang akan berlangsung bulan ini di tiga lokasi dan tarikh yang berbeza. Menggunakan teknik karikatur (“Nampak senang tetapi sebenarnya sangat susah untuk dikuasai,” ungkap Azmi), beliau telah melakarkan pelbagai struktur ikonik bandar George Town untuk diwarnai oleh para pengunjung. Azmi turut akan hadir untuk melukis secara langsung sambil membimbing para peserta untuk menghasilkan karya yang boleh dibawa pulang ke rumah.

Lukisan Victoria Tower Azmi boleh dilihat di Warna Warni George Town

Konsep acara ini tercetus daripada keinginan untuk mengecilkan jurang antara pengkarya dan audiens. “Saya mahu orang yang hadir untuk cuba berkarya bersama saya, bukan untuk melihat saya membuat persembahan. Seni itu untuk semua orang, tidak kira berbakat atau tidak,” terang Azmi dengan penuh azam. “Mungkin bukan semua boleh melukis ataupun berani duduk bersama-sama untuk melukis secara langsung, tetapi semua orang mampu mewarna dengan stail tersendiri, termasuklah anak-anak saya.”

Antara iktibar yang boleh diambil daripada kisah anak watan Pulau Pinang ini ialah sukses seorang artis adalah berkat pemikiran sistematik dan pertalian rapat dengan masyarakat. Percayalah yang visi Azmi untuk merakyatkan seni serta kecekapan beliau dalam pengendalian kerjayanya pasti mendorong lebih ramai anak muda untuk berseni dan berkarya.

Gambar-gambar ihsan Azmi Hussin.

Deric adalah seorang penulis dan produser yang berhajat untuk menyalurkan pengalamannya dalam bidang teater, media, dan pemprograman ruang awam kepada usaha-usaha yang memanfaatkan masyarakat.