5 magis kata-kata dan visual

5 magis kata-kata dan visual

Karya-karya berikut menggabungkan kesenian visual dan keindahan naratif dalam merakam sejarah, budaya dan kesusasteraan.

Oleh Fahmi Mustaffa

Bersempena dengan George Town Literary Festival yang akan berlangsung November ini, nikmati keindahan magis kata-kata dan visual dalam naskah-naskah ini.

  1. Creatures of Near Kingdom oleh Zedeck Siew dan Sharon Chin

Gambar dengan keizinan Zedeck Siew

Bagaimanakah sebuah karya kreatif mampu merintis genre fiksyen dengan penuh elegan? Naskah terbitan 2018 ini merupakan hasil kolaborasi prosa Zedeck Siew dan ilustrasi Sharon Chin. Rakaman 75 jenis flora dan fauna Malaysia diterjemah dengan sokongan teks imaginatif satu halaman ditemani dengan lampiran ilustrasi cap lino dan kayu. Ia visual hitam putih yang terpenuh dengan warna-warna cereka.

Creatures of Near Kingdom membawa persembahan terbaik realisma magis dengan pendekatan menarik dalam penghuraian keabstrakan biodiversiti di Malaysia dengan contoh seperti cacing di laman siber dan katak pembuat hujan. Tidak keterlaluan untuk karya ini dikenali sebagai sebuah percubaan menarik dalam mendokumentasi sejarah tanpa mengabaikan semangat zaman, kepercayaan, spiritualiti dan kualiti imaginatif seseorang pengarang dan artis visual.

Naskah ini diterbitkan oleh Maple Comics. Terokai laman web anak-anak seni  Zedeck Siew dan Sharon Chin.

2. Langkasuka Cookbook oleh Roslisham Ismail (Ise)

Sebuah pinggan menghidang melebihi sekadar makanan: ia sebuah perakam sejarah, diaspora budaya, pengalaman, memori, falsafah sains dan kesusasteraan. Artis kontemporari, Roslisham Ismail atau Ise, meninggalkan kita terlalu awal dengan khazanah kreatif yang indah nian. Langkasuka Cookbook merupakan sebuah perjalanan gastronomi negeri Kelantan bersusur-galurkan kerajaan purba Langkasuka menerusi 102 halaman dengan ilustrasi teknik-teknik masakan, esei ringkas serta fotografi.

Merentas naratif kebanyakan, naskah ini adalah sebuah terjemahan fizikal kepada sejarah, budaya dan identiti semasa di sebalik perisa, bau, tekstur dan persembahan makanan; seterusnya membawa kepada tesis terbesar tentang keperibadian, pengalaman, memori persendirian dan komuniti dari nyala rasa penyediaan dan hidangan. Ia rangkuman terbaik untuk membawa nostalgia, bukan untuk kembali menjauh dari masa depan, tetapi untuk membentuk ikatan hubungan yang kukuh dengan sejarah dan tika lampau dalam memberi ruang dan bentuk kepada identiti nasional, masyarakat dan peribadi.

Projek Langkasuka Cookbook dilaksanakan pada tahun 2012-2013 dengan instalasi multimedia, didukung bersama dengan persembahan masakan yang ditauliahkan untuk 7th Asia-Pacific Triennial of Contemporary Art, Queensland Art Gallery dan pernah dipamerkan di Galeri Ilham sehingga Julai 2018.

3. Mad Weave oleh Wendi Sia dan Sebastian Heng

Gambar dengan keizinan Wendi Sia

Asas kelahiran zine Mad Weave agak menarik di mana Wendi Sia dan Sebastian Heng, pada waktu itu, ditahan polis ketika mereka menerawang jauh ke Hutan Simpan Ayer Hitam atas tuduhan menceroboh, sebelum kemudiannya mengetahui bahawa terdapat kewujudan dan penempatan orang asli di Puchong. Ia membuat mereka teruja untuk mendalami sejarah dan naratif komuniti orang asli, agar dapat merintis pertumbuhan bersama disamping bertukar-tukar kemahiran dan pengetahuan. Projek Seni GERIMIS terlahir dan sebuah zine berjudul Mad Weave, tampil sebagai sisipan penting persembahan ini.

Mad Weave menampilkan pakar anyaman Yau Niuk bersama anaknya, Nadiahwati Miah melalui proses jalinan dan anyaman, ditulis oleh Wendi Sia dengan ilustrasi Sebastian Heng. Zine yang diterbit sebagai sebahagian daripada projek GERIMIS ini merupakan sebuah usaha fizikal dalam memperkaya kebersamaan ilmu dan latar budaya kraftangan orang asli. Lebih daripada senaskah zine kata-kata dan visual, Mad Weave adalah sebuah himpunan usaha projek GERIMIS yang diperkaya dengan anekdot tentang kehidupan dan penciptaan yang dianyam-jalin dengan cinta dan semangat.

Mad Weave zine edisi pertama merupakan sebuah cetakan langka dan edisi diperbaharui akan menampilkan lebih banyak informasi serta ilustrasi, terutamanya tentang sejarah kampung-kampung serta kisah artisan dan hubungkait mereka dengan hutan dan kraftangan. Versi kedua zine ini bakal diterbitkan pada pertengahan 2020. Teroka projek GERIMIS lebih lanjut di sini

4. Rencontre of Shanghai & Penang oleh Lefty Julian, Fei Giap, Milk Ma dan Xiao Tian

Gambar dengan keizinan Lefty Julian

Lefty Julian merupakan pemilik bersama Studio Gilamon yang diasaskan pada tahun 2003, iaitu sebuah platform untuk pengkarya yang menghasilkan pelbagai projek termasuklah siri Major Zombie, serta pernah menyandang jawatan Pengarah Kanan Seni di Gempak Starz. Nyala rasa beliau untuk mempersembahkan sebuah cerita dalam medium novel grafik kali ini menampilkan naratif Pulau Pinang dan Shanghai menerusi pandangan peribadinya.

Menurut Julian, Recontre of Shanghai & Penang adalah sebuah karya tentang dua buah kota yang mempunyai perkaitan intim dan perasaan yang terkait secara peribadi. Karya yang unik dan kukuh adalah kerja tangan yang mampu berdiri sendiri. Keunikan karya ini adalah gerak atur dan instalasi novel grafik yang membawa naratif kota secara keseluruhan dan dalam masa yang sama, setiap helaian novel ini mampu berdiri sendiri, justeru sesuai untuk dipersembahkan sebagai karya seni tersendiri dalam pameran seni.

Fasa bermulanya penghasilan novel grafik ini adalah ketika beliau bekerja di Shanghai. Dengan kolaborasi bersama Shanghai Toonmax Media, beliau membawa usul menjalinkan kerjasama intim dalam membina naratif sebuah kota.

Lefty Julian boleh diteroka lanjut di sini.

5. Land Below the Wind oleh Awang Fadilah.

Gambar dari laman sesawang Goodreads

Land Below the Wind karya Awang Fadilah memenangi tempat kedua untuk ilustrasi di Noma Concours for Picture Book Illustrations anjuran Asia-Pacific Cultual Centre for UNESCO di Tokyo. Dipenuhi dengan hasil lukisan yang begitu mengagumkan, Land Below the Wind membawa naratif seorang anak kecil di Sabah, tempat kelahiran Awang, dengan jalinan hubungan antara cara hidup berbudaya serta flora dan fauna di kepulauan Borneo.

Dengan penuh kemesraan, seorang anak kecil yang selayaknya digelar si antropologi cilik membawa gaya hidup di kampung di mana dia tinggal bersama kakak dan kawan-kawannya. Sepertinya seorang dewasa yang mewah dengan pengalaman, anak kecil ini bercerita tentang kisah memancingnya, pasar-pasar kecil di kawasan kampung serta kegemarannya menari-nari pada muzik tradisional. Teknik lakaran yang menggabungkan garis halus dan titik kecil menjelmakan tafsiran budaya dan gaya hidup dari lensa visual.

Dalam menentu corak identiti nasional dan peribadi, naskah ini membawa kita mengenal dan mengenang memori, sambil memeluk kepelbagaian etnik di Malaysia dengan penuh ikhlas dan terbuka.

Land Below the Wind yang diterbitkan pada tahun 2011 boleh diteroka lanjut di sini.

Gambar muka depan petikan daripada Mad Weave dengan keizinan Wendi Sia

Fahmi Mustaffa adalah pengarang, penterjemah dan artis visual. Beliau menetap di George Town, Pulau Pinang.